Wednesday 22 October 2014

RISALAH BULAN OKTOBER 2014 SURAU ARRAUDHAH

MANFAAT QIAMULLAIL

Riwayat dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabdda :“Syaitan mengikat tengkuk setiap daripada kamu apabila tidur dengan tiga ikatan. Syaitan menepuk setiap ikatan sambil berkata , “Engkau masih punya malam yang panjang, maka tidurlah.” Jika dia bangun lalu ingat kepada Allah, terlerailah satyu ikatan. Apabila dia berwudhuk, terlerailah satu lagi ikatan. Apabila dia mengerjakan solat, terlerailah semua ikatan. Pada pagi harinya, dia bersemangat dan berasa gembira. Tetapi apabila dia tidak bangun, hatinya merasa susah dan dia menjadi pemalas .”
Selain dapat meningkatkan hubungan manusia dengan Allah SWT dan menghidupkan ruh, qiamullail juga mempunyai manfaat-manfaat yang lain. Orang yang qiamullail berasa segar dan hatinya baik pada keesokkan paginya. Apabila dia melakukan sesuatu kerja, dia dapat melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan dengan hati yang baik. Hasilnya,pekerjaannya menjadi sempurna. Sebaliknya, mereka yang tidak mendirikan qiamullail menjadi malas dan hati mereka susah. Dalam keadaan seperti itu, mana mungkin mereka dapat melakukan pekerjaan dengan sempurna.
Qiamullail dapat memperbaiki jiwa kerana apabila zikir dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan istiqamah, ia dapat memberi pengaruh yang luar biasa kepada si pelaku.
Bagi memastikan jiwa menjadi baik, perkara utama yang perlu dilakukan adalah membersihkan jiwa dan hati. Zikir kepada Allah adalah satu-satunya jalan bagi menyucikan hati. Direkodkan oleh Baihaqi, sabda Rasulullah SAW :“Setiap sesuatu itu ada tukang cuci, tukang cuci hati adalah zikrullah”.
Ibrahim al-Khawwas berkata “Ubat bagi hati ada lima perkara : membaca Al-Quran sambil merenungi bacaannya, perut yang lapar, qiamullail, tunduk dan merendahkan diri kepada Allah pada waktu sahur serta duduk bersama orang yang soleh”.

No comments :

Post a Comment